Blog ni adalah rekaan aku semata-mata... Dalam blog ni terdapat hasil tulisan titik pena aku sendiri dan ada juga artikel-artikel atau blog-blog menarik yang di "copy" kan dari bloggerz2 laen utk dikongsi bersama... Terlebih dahulu, aku nak mintak maaf awal2 jikalau ader maner2 artikel atau penulisan dalam blog ni yang menyinggung mana2 pihak. Sebarang komen dan kritikan membina amat dialu-alukan

Rabu, 20 Ogos 2008

Cerita dari Permatang Pauh

Doa Tok Guru iringi kempen Anwar di Permatang Pauh

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berdoa agar Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim diberikan kemenangan oleh Allah pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos depan.

Di sebalik keuzuran dan kesibukan beliau menghadiri Muktamar Tahunan PAS ke 54 di Ipoh, Tok Guru bergegas ke Permatang Pauh seusai menunaikan solat subuh, untuk menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Anwar.

Menteri Besar Kelantan itu tiba di Pusat Penamaan Calon di Institut Perguruan Tuanku Bainun yang terletak di sisi Lebuhraya Butterworth- Kulim Express (BKE) kira-kira jam 9.30 pagi, disambut pemimpin-pemimpin utama Pakatan Rakyat.

Akibat kesesakan lalu lintas, kenderaan rasmi yang membawa Tok Guru terpaksa diletakkan berjauhan daripada pusat penamaan dan beliau dibawa masuk dengan menaiki proton wira milik seorang penyokong PAS.

"Ambo (saya) terlekat dalam jam (kesesakan lalulintas) lama, dari pukul berapa tadi tak boleh masuk," ujarnya yang datang bertongkat ketika disambut penulis.

Image "Ya Tok Guru, sejak subuh tadi, jam 6.30 pagi orang dah mula berkumpul," kata penulis.

"Pelik ni, ramai sungguh ore (orang)," kata Tok Guru merujuk kepada sambutan yang diberikan kepada calon Pakatan Rakyat.

Menurut Tuan Guru Nik Abdul Aziz, dengan jadual beliau yang begitu padat, beliau berasa amat letih untuk berjalan jauh.

Namun katanya di sebalik kekangan jadual dan kesihatan, beliau tetap berkunjung ke Permatang Pauh kerana amat komited dengan agenda Pakatan Rakyat.

Selain Tok Guru, pemimpin PAS yang hadir memberikan sokongan ialah Naib-naib Presiden, Dato' Husam Musa dan Mohamad Sabu; Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Md Ramli; AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Dr Dzulkefli Ahmad, Dr Lo'lo Mohd Ghazali, Dr Siti Mariah Mahmood dan Dr Mujahid Yusof yang juga Pengarah PAS untuk pilihan raya kecil tersebut.

Image Mereka disertai oleh Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Salleh Man dan Ahli Dewan Undangan Negeri (PAS) Permatang Pasir, Mohd Hamdan Abdul Rahman.

Bagi pihak KeADILan, Anwar diiringi isteri Dato' Seri Dr Wan Azizah Ismail yang juga Presiden KeADILan serta keluarga, Timbalan Presiden Dr Syed Husin Ali, Naib Presiden, Mohamed Azmin Ali, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta lain-lain pemimpin utama mereka.

Turut sama ialah veteran DAP, Dr Chen Man Hin; Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP, Karpal Singh, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng serta lain-lain.

Solidariti rakyat

Image Permatang Pauh menyaksikan lebih 50,000 penyokong Pakatan Rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama berhimpun menyatakan sokongan padu kepada Anwar.

Jumlah ini jauh mengatasi kumpulan penyokong Barisan Nasional yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, yang dianggarkan kira-kira 5000 orang sahaja.

Penyokong Pakatan Rakyat, berhimpun dan mengibarkan bendera ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat sejak jam 6.30 pagi, menyebabkan kesesakan di sepanjang jalan lebuhraya BKE, dari arah Penanti dan Berapit, sepanjang beberapa km menuju ke pusat penamaan calon.

Image Sehingga pemimpin dan penyokong BN terpaksa berarak melintasi kiri kanan jalan yang telah dipenuhi penyokong Pakatan Rakyat.

Situasi ini menyebabkan ramai kalangan pemimpin BN yang diteriak dengan pelbagai sorakan terpaksa menerima hakikat yang getir hingga 'merah padam muka'.

Sorakan 'Altantuya', 'Hutang 200 juta (saman terhadap BN) poster tak bayar, 'Rasuah', 'Correct, correct, correct' (ditujukan kepada Dato' Seri Adnan Mansor, 'Pengkhianat (kepada Ezam Mohd Nor), bergema berulang-ulang kali.

Kegusaran pemimpin-pemimpin BN jelas kelihatan. Wajah-wajah cemas mereka melihat segerombolan besar penyokong Anwar tidak dapat disembunyikan lagi.

"Rakyat sudah bosan dengan BN, penuh dengan fitnah dan penipuan," kata David Leong yang datang bersama beberapa orang rakan dari Alor Star dengan sebuah bas.

Image "Makin dia bawa budak tu (saiful) sumpah, makin kami tak percaya," ujar seorang imam surau yang ditemui berhampiran Pusat Khidmat Dun Permatang Pasir.

Sekumpulan anak muda berbangsa India juga turut berarak dengan memukul gendang sambil melaungkan 'Makkal Sakhti' sambil mengibarkan bendera KeADILan.

Perhimpunan rakyat di Permatang Pauh merupakan perhimpunan terbesar yang mencatatkan paling ramai penyokong berhimpun dalam satu-satu pilihan raya.

"Perhimpunan ini amat besar, walaupun orang boleh kata penyokong yang ramai ini belum tentu memberikan undi (kepada Anwar) tetapi round pertama ini kita sudah menang," kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Katanya, beliau turut berbangga dengan rakyat Pulau Pinang daripada PAS, DAP dan KeADILan yang hadir beramai-ramai di pusat penamaan calon tersebut.

"Hari ini rakyat berbilang kaum menunjukkan solidariti yang amat luar biasa, saya harap ia terus kekal," kata Setiausaha Agung DAP itu.

Guan Eng turut mengambil kesempatan berbual mesra dengan Tok Guru bersama Tan Sri Khalid dan berkongsi pandangan bagi mempererat dan memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

ImageKegusaran BN

Kepulangan Anwar ke Permatang Pauh diibaratkan sebagai 'bagaikan sirih pulang ke gagang'. Kawasan Parlimen yang 'terpaksa dilepaskan' sejak sepuluh tahun lalu akibat kezaliman BN masih segar di kalangan rakyat.

BN amat gusar kerana bilangan penyokong Anwar, yang pernah mengetuai Umno Bahagian Permatang Pauh begitu besar. Penyokong bekas TPM itu selepas krisis pemecatannya pada tahun 1998 masih ramai dalam Umno.

Hakikat sokongan mereka diterjemahkan dengan sokongan terhadap Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mewakili Permatang Pauh selepas pemecatan Anwar.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, Wan Azizah meraih 30,338 undi menewaskan calon BN, Dato' Pirdaus Ismail yang mendapat hanya 16950 undi. Majoriti 13,398.

Manakala di ketiga-tiga DUN, Seberang Jaya, calon BN Dato' Arif Shah Omar Shah mendapat 9395 undi menewaskan calon KeADILan yang mendapat 8862 undi, kelebihan majoriti 533 sahaja.

Image Di Dun Permatang Pasir, calon PAS, Mohd Hamdan meraih 11004 undi menewaskan BN, Ahmad Sahar Shuib yang memperolehi 5571 undi. Majoriti 5433 undi.

Di Dun Penanti, calon KeADILan, Mohamad Fairus Khairuddin meraih 7346 undi menewaskan calon BN Abdul Jalil Abdul Majid yang mendapat 5127 undi. Majoriti 2216 undi.

Jika dihimpunkan undi yang diperolehi calon Pakatan Rakyat iaitu 27,745, memperlihatkan Wan Azizah mendapat lebih 2575 undi.

Kelebihan undi ini dipercayai datangnya dari kalangan ahli Umno yang menyokong Wan Azizah serta Anwar secara tersembunyi.

Kalangan mereka dikatakan secara zahirnya menentang pembangkang (KeADILan) tetapi dijangka memberikan undi secara diam-diam kepada Anwar.

Jika sokongan media arus perdana terhadap calon BN dijadikan ukuran, ia akan menjadi pertaruhan sia-sia BN. Arif Shah dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Hanafi Hamat bukan tandingan sebenar Anwar.

Hanafi yang ditemui penulis memberitahu, beliau adalah Presiden Akim yang menggantikan Allahyarham Cikgu Musa Salleh.

Katanya, Akim adalah sekumpulan serpihan ahli PAS yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan.

Image "Perjuangan kami tidak ada kena mengena dengan PAS atau mana-mana parti pembangkang, kami berdiri sendiri memperjuangkan ideologi kami," ujarnya, yang datang bersama seorang pencadang dan seorang penyokong.

"Apa yang tuan harapkan daripada penyertaan dalam pilihan raya ini," soal penulis

"Kami mahu supaya rakyat Malaysia sejahtera," jawab Hanafi, ringkas.

Penentu masa depan politik negara

Siapa pun yang menyertai pilihan raya kecil ini bukan menjadi persoalan. Malaysia negara demokrasi, sesiapa sahaja boleh mencalonkan diri bertanding kata Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika menjawab soalan wartawan di Ipoh, Ahad lepas.

Sudah tentu rakyat yang menjadi pengundi di Permatang Pauh sudah membuat keputusan untuk memilih siapa bakal Ahli Parlimen mereka.

Pilihan raya kecil ini sebenarnya amat penting bagi negara. Ia bakal menentukan masa depan politik negara dan menjadi pertaruhan sama ada pembentukan Kerajaan Pakatan Rakyat berjaya atau pun tidak.

Image Harus diingat bahawa, Anwar menyertai pilihan raya kecil Permatang Pauh bukan semata-mata hendak menggantikan Dr Wan Azizah sebagai Ketua Pembangkang.

Beliau mempunyai agenda yang amat besar. Agenda sebagai calon PM dari Pakatan Rakyat.

Pilihan raya kecil ini juga menjadi titik tolak atau asas yang boleh membawa tumbangnya kerajaan BN setelah berkuasa selama lebih 50 tahun.

Undi rakyat di Permatang Pauh sebenarnya adalah mewakili 27 juta rakyat Malaysia bagi menentukan masa depan negara.

Tekanan BN di kepada rakyat Permatang Pauh amat hebat. Mereka terpaksa all out untuk menyelamatkan bahtera yang hampir karam. Mereka terpaksa melakukan apa sahaja untuk menyekat kemasukan Anwar ke Parlimen.

Kemasukan Anwar ke Parlimen bakal mengundang bahaya yang amat besar yang bakal menguburkan masa depan politik BN.

Jika rakyat memberikan kemenangan kepada Anwar, impian majoriti rakyat untuk meletakkan Umno dan BN ke dalam muzium semakin hampir.

Hakikatnya ramai berpendapat bahawa kerusi Parlimen Permatang Pauh tetap menjadi milik Anwar. Cumanya besar mana majoriti untuk membawa beliau ke Parlimen sedang menjadi congakan.

Cukuplah...sudah 50 tahun Umno/BN berkuasa, kali ini berilah kepada Pakatan Rakyat pula.

SIAPA..SHAIFUL AZLAN..???

Berita terbaru aku dapat.....
Shaiful Azlan Bukhari datang bersama-sama seorang pemimpim utama negara semasa pengumuman calon UMNO di Hotel Sunway seberang jaya baru-baru ni.....
yang menjadi persoalan kenapa dia berada bersama dengan Pemimpin Umno ni kalau Puak umno menafikan kaitan mereka dengan Saiful ni....
Dan yang lagi menyedihkan Si Saiful datang dari KL dengan menaiki sebuah pesawat Folker VVIP milik tentera udara diraja malaysia yang hanya di khaskan untuk kegunaan Yang DI Pertun Agong dan Perdana Menteri saja untuk tugas-tugas rasmi kerajaan.... .
Yang menjadi persolannya siapa saiful ni begitu istimewa di mata pemimpim UMNO hinga di sama tarafkan dengan Agong dan PM...?
Kalau MB kedah di pertikan kan kerana menggunakan pesawat Khas ketika menjemput sultan Brunai menghadiri Jubli Sultan Kedah kenapa si Saiful ni senang-senang menggunakan pesawat kerajaan yang di Khaskan untuk Agong dan PM......?

Perlakuan lucah Puteri di Permatang Pauh dikesali

a

Tindakan anggota Puteri Umno membuat laporan polis kononnya ada orang merabanya dianggap sengaja dilakukan bagi menutup perlakuan lucah mereka.



Semasa perarakan calon semalam ada di antara mereka yang menunjukkan perlakuan lucah dengan menunggeng punggung dan bermacam-macam lagi.



Gelagat dan tingkah laku anggota puteri dan pemuda Umno dirakam jurugambar media biar pun perkara itu cuba disembunyikan media elektronik.




Mengulas perkara itu, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, anak-anak muda dalam Umno cuba mempersendakan Dato' Seri Anwar Ibrahim, biar pun dakwaan kes itu masih dibicarakan di mahkamah.




"Anak-anak muda dalam Umno telah dipengaruhi pimpinan mereka seolah-olah mahu menghukumkan Anwar. Mereka sengaja berniat jahat kerana di Malaysia seseorang itu tidak boleh dianggap bersalah sebelum mahkamah memutuskannya.




"Bukan cara untuk kita membuat kempen begitu. Ini merupakan seolah-olah serangan peribadi yang tidak sepatutnya berlaku," ujar beliau ketika ditemui di muktamar hari ini.

Menurutnya tindakan mereka ini seolah-olah telah membuat hukuman sendiri terhadap Anwar dan ia merupakan satu tindakan jahat.



"Saya berharap Pakatan Rakyat tidak mengikut rentak mereka dalam membuat serangan peribadi. Jangan cepat melatah dengan kempen mereka," katanya lagi.




Malah kata beliau pernah berlaku d zaman Rasullullah saw, baginda mengadakan acara bergusti dengan ahli gusti Arab, Abu Dardar di mana katanya dia tidak akan menerima Islam kecuali baginda dapat mengalahkannya.




Akhirnya Nabi Muhammad saw menyahut cabaran tersebut dan baginda menang sehingga Abu Dardar memeluk Islam.




"Ini menggambarkan Islam boleh berada di mana-mana keadaan. Begitu juga di Permatang Pauh. Oleh itu kita tetap memberi sokongan padu kepada Anwar.

"Semoga kemenangan Anwar akan membuat perubahan yang jelas di Dewan Rakyat nanti," ujarnya.




Biar apa halangan pun kata beliau PAS tetap menyokong Anwar di Permatang Pauh. - mj